Wednesday, June 19, 2013

Pasca PRU 13

PRU 13 dah selesai 5 Mei yang lalu. Keputusannya BN masih mengekalkan pemerintahan dengan memperolehi kemenangan majoriti mudah 133 kerusi berbanding Pakatan Pembangkang 89 kerusi. UMNO berjaya tambah 9 kerusi parlimen dari PRU 12 yang lalu. Parti komponen lain MCA, Gerakan (tak gerak tak makan), MIC makin hilang sokongan. Sabah dan Sarawak membantu BN untuk mempertahankan kuasa setidak-tidaknya untuk 5 tahun akan datang. Bagi kerajaan negeri pula, Kedah kembali ke tangan BN. Selangor, P. Pinang dan Kelantan terus kekal di tangan PKR, DAP dan Pas.

PRU 13 menunjukkan sokongan rakyat khususnya orang Cina begitu bulat kepada pembangkang terutamanya kepada DAP dan PKR. Ini terbukti dengan peningkatan mendadak majoriti kemenangan calon-calon DAP sama ada di peringkat DUN mahu pun Parlimen. Peningkatan ketara ini juga jelas ditunjukkan dengan DAP memenangi 38 kerusi parlimen berbanding parti pembangkang yang lain PKR (30) dan Pas (21). Rata-rata kemenangan PKR dan Pas bergantung kepada bantuan sokongan orang Cina kepada calon-calon mereka kecuali beberapa kawasan di Kedah dan Kelantan.

Persoalannya kenapa orang Cina mengundi parti pembangkang? Bagi saya mereka memilih pembangkang kerana pada fikiran mereka kerajaan BN yang ada pada hari ini tidak bersih, mengamalkan rasuah dan yang paling utama kerana dianya dipimpin oleh orang Melayu. Ini jelas terbukti dengan isu-isu yang dimainkan sepanjang tempoh 2008-2013 dimana orang Cina telah menuduh kerajaan BN mementingkan kaum Melayu sahaja dan meminggirkan kaum-kaum lain.

Jelas tuduhan-tuduhan ini hanyalah dijadikan sebab untuk mereka menolak BN semata-mata. Sebenarnya majoriti orang-orang Cina ini telah lama menunggu masa yang sesuai untuk melakukan perkara ini dan pada PRU 13 adalah masa yang terbaik untuk mereka menukar kerajaan yang disukai oleh mereka. DAP memainkan peranan yang paling penting dalam PRU 13 dengan memastikan undi-undi orang Cina tidak diberi kepada BN kerana BN dikatakan rasuah dan zalim kepada mereka. Namun sebab utamanya ialah BN telah sedikit sebanyak berjaya menyekat ketamakkan orang-orang Cina ini daripada terus membolot kekayaan negara untuk kaum mereka sahaja.

Sikap tamak ini telah menjadikan orang-orang Cina tidak menghiraukan perasaan kaum-kaum lain di negara ini terutamanya orang-orang Melayu. Mereka telah berkali-kali mencuba untuk memperlihatkan kebiadapan mereka dalam pelbagai isu. Namun walau sekuat mana cubaan mereka untuk menumbangkan kerajaan BN ternyata mereka masih lagi gagal kerana di Malaysia masih ramai yang rasional dan memilih untuk mengundi kerajaan yang lebih stabil untuk memimpin Malaysia.

Apapun keputusan PRU 13 adalah keputusan rakyat Malaysia. Sebagai seorang yang tergolong dalam sistem demokrasi Raja Berpelembagaan ini, kita perlu akur dan menghormati apa jua keputusan yang telah dibuat dalam PRU 13 yang lalu. Bagi BN, usaha lebih 5 tahun lalu perlu diteruskan dan dilipat gandakan bagi memastikan kestabilan rakyat semua kaum terus terpelihara.

Wednesday, November 7, 2012

Kebebasan Dalam Kawalan

1. Hari ini bermula satu era baru dalam pentadbiran Kerajaan Amerika Syarikat (AS). Barack Obama telah memenangi pilihanraya Presiden AS setelah mengalahkan calon Republikan Mitt Romney. Kemenangan Obama telah membuktikan bahawa rakyat di negara Uncle Sam itu mahu dasar-dasar kesederhanaan Obama diteruskan. Nampaknya rakyat AS telah belajar daripada kesilapan iaitu dengan memilih pemimpin yang lebih moderate untuk memimpin negara mereka dalam tempoh empat tahun yang mendatang.

2. Dasar Obama yang menarik balik bala tentera AS dari bumi Iraq dan Afghanistan telah banyak membantu pemulihan ekonomi negara tersebut. Walau pun perkembangan ekonomi negara AS agak perlahan namun langkah-langkah bagi menyediakan pemulihan yang diinginkan telah giat dilaksanakan dalam tempoh empat tahun yang lalu.

3. Pun begitu tentangan sengit telah diberikan oleh Mitt Romney, bekas Gabenor dari Massachusetts telah membuktikan bahawa tidak semua yang bersetuju dengan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh pentadbiran Obama. Dengan kebebasan bersuara telah menjadikan kritikan dan cemuhan telah dilemparkan kepada Obama oleh kerana kelembapan ekonomi dan kekurangan peluang pekerjaan di AS.

4. Sememang kebebasan bersuara menjadi idaman setiap rakyat di mana-mana juga negara di dalam dunia ini. Ada negara yang lebih liberal dan ada juga negara yang tidak membenarkan rakyatnya mengkritik kerajaan yang memerintah. Malaysia secara umumnya agak sederhana dalam perkara ini. Mungkin tindakan tersebut dilakukan bagi menjamin kestabilan negara dan menjaga keharmonian masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia.

5. Isu-isu agama, bangsa dan bahasa adalah perkara-perkara yang sentiasa perlu diberi perhatian dalam sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Perlembagaan negara yang telah digubal membuktikan betapa pentingnya bagi kita sebagai rakyat Malaysia menghormati agama lain dalam negara kita.

6. Namun sejak kebelakangan ini tindakan ahli-ahli politik daripada parti pembangkang telah menampakkan bahawa mereka tidak menghormati akan perlembagaan negara. Mereka seringkali menyentuh perkara-perkara sensitif terutamanya yang melibatkan kepentingan Bumiputra yang sememangnya telah termaktub dalam perlembangaan persekutuan. Tujuan mereka tidak lain hanyalah untuk meraih undi daripada kaum-kaum lain terutamanya dari kaum Cina yang dianggap oleh mereka sebagai penentu kemenangan mereka di kerusi-kerusi tertentu.

7. Baru-baru ini YB Nurul Izzah telah mengeluarkan kenyataan yang menyentuh dasar negara iaitu Islam sebagai agama Persekutuan. Beliau menyatakan bahawa orang Melayu yang beragama Islam perlu juga diberikan kebebasan untuk beragama dan tidak hanya kepada bangsa-bangsa lain.

8. Namun begitu tindakan mereka sememangnya telah menyebabkan rasa khuatir masyarakat berbilang kaum di negara ini yang secara perlahan-lahan telah beralih sokongan kepada Barisan Nasional. Ini telah terbukti dengan kemenangan BN dalam pilihanraya-pilihanraya kecil yang disertai BN bermula dengan Bagan Pinang dan berakhir di Merlimau dan Kerdau. Sokongan ini juga dibuktikan dengan sambutan hangat daripada rakyat setiap kali program-program yang diadakan oleh BN diadakan.

9. Apa yang lebih penting ialah keamanan dan keselamatan di Malaysia perlu menjadi agenda utama. Janganlah kerana inginkan sokongan maka sanggup melakukan apa sahaja sehingga mencetuskan suasana tidak senang bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Sunday, April 8, 2012

CALON GOLONGAN PROFESIONAL

1. Sebentar tadi Aaron Aziz telah dinobatkan selaku Juara Bintang Paling Popular Berita Harian bagi tahun ini. Sambutan Malam Anugerah pada malam ini berlaku dalam suasana yang sangat meriah dengan persembahan gandingan artis baru dan lama. Sungguh menghiburkan. Aaron Aziz anak kelahiran Pasir Ris, Singapura mendapat tempat bagi peminat industri hiburan di Malaysia. Dalam kemeriahan sambutan pada malam ini Anugerah Perak turut menjadi milik penyanyi popular Dato' Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu Malaysia yang telah lama mengundurkan diri dalam anugerah Bintang Popular Berita Harian. Walaupun sudah berumahtangga namun populariti Dato' Siti Nurhaliza masih berada ditahap yang membanggakan. Ini membuktikan bahawa populariti artis tidak luntur walaupun sudah tidak melibatkan diri secara aktif dalam bidang hiburan. Pun begitu ianya memberikan kita satu gambaran bahawa bakat dan kebolehan seseorang tidak dilupakan walaupun dirinya tidak lagi aktif dalam bidang yang diceburi. Yang penting kualiti dan cara membawa diri menjadi nilai penting untuk terus berjaya. 

2. Namun ianya mungkin berbeza sedikit dengan suasana politik semasa dalam negara kita. Sekiranya seseorang ahli politik tidak lagi aktif dalam bidang politik kemungkinan besar popularitinya mungkin akan malap dan tidak lagi menjadi topik hangat perbualan masyarakat. Begitu juga dengan idea dan perancangan yang telah dibuat semasa populariti berada ditahap yang tinggi. Ini berlaku begitu ketara sekali dikalangan ahli politik dalam negara kita. 

3. Walaubagaimanapun ini tidak memberikan nilaian bahawa idea dan perancangan seseorang yang tidak popular itu salah dan tidak boleh diterima pakai lagi oleh masyarakat dan negara. Sebagai contoh cadangan Yang Amat Berbahagian Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mencadangkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional untuk mengetengah calon-calon profesional bagi menghadapi Pilihanraya Umum yang ke 13 akan datang. Idea ini perlu diberikan perhatian yang teliti oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan BN menang dan mampu untuk mentadbir negara dengan baik sekiranya diberikan mandat dalam PRU ke 13 akan datang.

4. Kemungkinan besar akan ada calon BN dari kalangan profesional namun persoalannya disini ialah jumlah calon profesional yang akan menjadi pilihan pucuk pimpinan BN dalam PRU akan datang. Sekiranya golongan profesional hanya diletakkan untuk menjadi syarat bahawa BN punyai calon dari golongan profesional ianya mungkin tidak cukup bagi memberikan keyakinan kepada rakyat untuk mengundi calon-calon dari BN dalam PRU akan datang.

5. Sememangnya sukar bagi pucuk pimpinan BN untuk menentukan calon-calon dalam PRU ke 13 yang akan datang. Menjadi kebiasaan nama-nama calon dari UMNO khususnya, akan datang daripada kepimpinan bahagian-bahagian dalam UMNO itu sendiri. Ini disebabkan oleh jentera parti diperingkat bahagian dan cawangan lebih senang dengan calon-calon yang sudah biasa dengan mereka dan calon yang mereka sudah kenal. Namun hakikatnya keputusan PRU ke 13 yang akan datang berkemungkinan besar akan datang daripada rakyat yang teramai yang tidak mengganggotai mana-mana parti politik atau lebih dikenali sebagai golongan atas pagar. Golongan ini tidak mengenali kepimpinan UMNO diperingkat Bahagian dan Cawangan. Penilaian yang akan dibuat oleh golongan ini adalah berdasarkan rekod parti memerintah dan merit calon yang letakkan oleh parti yang bertanding.

6. Sekiranya golongan ini tidak dapat diyakinkan oleh BN kemungkinan besar mereka akan mencari alternatif lain iaitu dengan mengundi calon-calon dari parti pembangkang yang semakin mendapat tempat dikalangan pengundi sejak berakhirnya PRU ke 12 pada tahun 2008 yang lalu. Ini pula ditambah dengan kehadiran lebih ramai calon-calon profesional dalam parti-parti pembangkang sejak PRU-PRU yang lalu.

7. Secara umumnya BN adalah parti yang lebih mendapat liputan yang meluas daripada media sama ada media cetak dan elektronik, namun dengan adanya media alternatif perkara ini harus diperincikan kembali. Adalah lebih mudah untuk berkempen bagi calon yang mempunyai sedikit latar belakang pendidikan dan berkebolehan dalam mentadbir berbanding calon-calon yang tidak mempunyai salah satu daripada kreateria tersebut. Walaupun pelbagai usaha telah dibuat oleh kedua-dua pihak, pastinya pengundi pada hari ini lebih cenderung untuk membuat penilaian sendiri.

8. Faktor calon kitar semula seharusnya diminimakan oleh BN dalam menghadapi cabaran PRU ke 13. Calon-calon yang telah kalah dalam PRU ke 12 sewajarnya memainkan peranan yang penting dalam mengetengah muka-muka baru dalam memenangi PRU yang akan datang. Rata-rata gandingan ini akan menjadi kuasa pendesak yang besar yang bakal memberi kemenangan kepada calon-calon yang bertanding. Pengorbanan dan keikhlasan yang tinggi amat diperlukan daripada pemimpin dan ahli-ahli parti yang bertanding pada PRU pada kali ini.

9. Oleh itu sekiranya BN ingin mengekalkan kemenangan dan seterusnya ingin terus mentadbir negara perkara ini harus diberi perhatian yang cukup serius. Walaupun pelbagai isu yang dimainkan oleh Pembangkang sejak akhir-akhir ini, yang pastinya rakyat akan melihat calon-calon yang berkaliber bagi memberi bayangan kerajaan yang akan dibentuk sesudah memenangi PRU yang akan datang.

10. Perlu menjadi ingatan, bahawa calon-calon daripada Bahagian dan Cawangan UMNO bukannya tidak berkualiti malahan ada yang lebih baik daripada calon golongan profesional dari sudut menjaga kepentingan sosial rakyat. Namun gandingan antara kedua-dua golongan ini dalam barisan calon-calon dalam PRU akan datang akan memberikan kesan yang besar dalam menentukan kemenangan dalam PRU ke 13 yang akan datang.

Sunday, August 14, 2011

Ramadhan, Gereja dan Baca Al-Quran

1. Seperti biasa setiap tahun umat Islam menyambut kedatangan bulan Ramadhan. Dalam bulan Ramadahan ini umat Islam difardhukan menunaikan ibadat puasa dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti solat sunat Tarawih, bersedekah, memperbanyakkan membaca Al-Quran dan lain-lain lagi. Sebagai negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam sememangnya kedatangan Ramadhan amat dirasai oleh penduduk di negara kita ini.

2. Pun begitu, diawal bulan Ramadhan yang lalu negara dikejutkan dengan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS)ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya, Selangor. Dalam laporan media melaporkan gereja tersebut telah menganjurkan satu majlis keagamaan dan dalam masa yang sama menjemput sebilangan kecil orang Islam untuk menyertainya. Perkara ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dikalangan masyarakat yang ingin tahu tentang apa sebenarnya yang berlaku di gereja tersebut.

3. JAIS telah memberikan kenyataan tentang pemeriksaan tersebut, namun ada pihak yang seolah mempertikaikan peranan JAIS dalam menangani isu ini. Umum sedia maklum yang agama Islam adalah Agama Rasmi Persekutuan. Walaubagaimana pun agama-agama lain boleh diamalkan secara bebas tanpa sebarang gangguan.

4. Sebagai Agama Rasmi Persekutuan, hanya agama Islam sahaja yang dibenarkan untuk disyiarkan kepada umat Islam seluruh negara. Agama-agama lain hanya boleh diamalkan oleh penganut asal agama tersebut malahan ianya menjadi satu kesalahan sekiranya ianya disebarkan kepada penganut agama Islam. Peraturan ini dibuat adalah untuk memastikan tidak berlaku sebarang ketegangan berkaitan agama sekiranya penganut agama lain boleh mendakwah penganut agama Islam kepada agama mereka.

5. Oleh itu, apa jua alasan yang diberikan oleh pihak gereja berkenaan, pihak kerajaan terutamanya Kerajaan Negeri Selangor perlu mengambil tindakan tegas supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Ini bukanlah satu isu yang perlu melibatkan soal politik kepartian mana-mana parti tetapi ianya lebih kepada masalah seluruh rakyat Malaysia secara amnya.

6. Kebimbangan ini ada asasnya kerana isu-isu sensitif seperti ini seharusnya tidak dipolitikan oleh mana-mana pihak demi keamanan dan kesejahteraan negara. Tidak ada yang lebih bernilai melainkan kesejahteraan dan keselamatan yang dikecapi oleh seluruh rakyat pada masa ini.

7. Terbaru Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengeluarkan arahan kepada semua masjid dan surau seluruh negeri agar tidak memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran sebelum azan Subuh dengan menggunakan pembesar suara. Alasan kepada tindakan ini ialah supaya tidak mengganggu mereka yang sedang nyenyak tidur.

8. Persoalannya di sini adakah keputusan ini dibuat berlandaskan syariat Islam yang sebenar atau hanya sekadar ingin memuaskan hati segelintir golongan masyarakat. Persoalan ini perlu segera diselesaikan oleh pihak Mufti Pulau Pinang kerana sejak 54 tahun negara mencapai kemerdekaan, tidak menjadi timbul sebarang masalah tentang isu membaca Al-Quran dengan pembesar suara di masjid dan surau seluruh negara.

9. Isu-isu berkenaan seharusnya dipandang serius oleh kepimpinan tidak kira mewakili mana-mana parti politik sama ada kerajaan atau pun pembangkang supaya berhati-hati dalam menangani isu-isu sebegini. Kesan daripada isu-isu seperti ini sememangnya boleh menggugat keselamatan negara dan hubungan antara kaum boleh menjadi renggang.

10. Semua pihak terutamanya yang ingin menjadi popular dengan keputusan-keputusan yang menghiris perasaan satu pihak yang lain seharusnya sedar tentang kesan jangka panjang daripada keputusan yang dibuat. Janganlah kerana ingin memperoleh sokongan maka perkara-perkara asas kenegaraan sanggup dikorbankan. Ramai lagi rakyat yang masih ingin menjadikan Malaysia sebagai tempat tinggal yang selamat dan sejahtera untuk mereka dan insan-insan yang mereka sayangi.

Saturday, March 6, 2010

SINDROM KELUAR PARTI

1. Sejak kebelakangan ini ramai Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat telah meninggalkan parti itu dan menjadi Ahli Bebas dalam Parlimen Malaysia. Tindakan ini mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor yang membuat ahli-ahli Parlimen daripada PKR itu keluar meninggalkan parti itu.

2. Terbaru semalam. YB Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu. Walaupun beliau dipecat kerana tidak menghadiri perbicaraan oleh Lembaga Disiplin PKR, beliau sekarang adalah ahli bebas dalam Parlimen.

3. Ini juga adalah sindrom baru dalam politik tanah air selepas sindrom Pilihanraya Kecil yang terpaksa diadakan hampir setiap bulan selepas Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu atas pelbagai sebab.

4. Kedua-dua sindrom ini berlaku dalam Pakatan Pembangkang yang sememangnya amat beriya-iya untuk menjadi Kerajaan pada Pilihanraya ke 13 akan datang. Jika Ahli Parlimen sendiri pun susah hendak dijaga, bagaimana hendak menjaga negara? Perkara ini perlu direnungkan supaya kita semua sedar bukannya mudah untuk mentadbir sebuah organisasi dan juga bukan senang untuk mentadbir sebuah negara.

5. Mungkin ada pihak akan menuding jari kepada Barisan Nasional yang kononnya mengatur atau membuat pakatan dengan Ahli-Ahli Parlimen ini untuk keluar meninggalkan PKR. Bagi saya perkara tersebut tidak perlu diperdebatkan kerana yang keluar dari PKR itu adalah orang-orang kanan dan rakan baik pemimpin utama PKR iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim.

6. Saya yakin mereka telah sedar tentang kerapuhan pegangan pimpinan PKR dalam perkara-perkara asas untuk mentadbir negara. Pimpinan PKR juga nampaknya tidak mengambil berat tentang isu-isu yang membabitkan kepentingan orang Melayu dan Agama Islam demi menjaga kepentingan bangsa lain. Dalam kata lain Bukan Melayu DiUtamakan.

7. Inilah antara perkara pokok yang menyebabkan mereka keluar meninggalkan parti yang diwakili mereka sebelum ini. Saya rasa keputusan yang mereka buat adalah yang terbaik untuk diri mereka dan difikirkan terbaik juga untuk rakyat yang mereka wakili dikawasan-kawasan mereka. Walaupun sudah menjadi wakil rakyat bebas, tugas sebagai wakil rakyat perlu diteruskan dan usaha ini perlu dilipat gandakan. Mungkin selepas ini adalah lebih mudah bagi Ahli-Ahli Parlimen ini untuk meminta bantuan dari Kerajaan BN setelah menjadi wakil rakyat bebas dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing. Selamat menjalankan tugas.

Monday, February 1, 2010

SOKONG WAJIB LULUS BAHASA INGGERIS DALAM SPM

Langkah Kementerian Pelajaran Malaysia yang akan menimbang untuk mewajibkan lulus Bahasa Ingggeris (BI) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat dialu-alukan. Ianya akan memberi kesan yang baik kepada pelajar dalam penguasaan mereka dalam BI. Pengumuman yang dibuat oleh YAB Tan Sri Muhyuddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran akan memberi ruangan baru kepada para pelajar untuk meningkatkan usaha mereka dalam pencapaian BI masing-masing.
Walaubagaimana pun semua pihak perlu dahulu diberi pendedahan tentang pentingnya penguasaan BI dikalangan para pelajar. Ianya penting untuk memberi suntikan semangat kepada para pelajar untuk berusaha lebih gigih dalam mempertingkatkan penguasaan dan keputusan mereka dalam BI. Kebimbangan mungkin dirasai oleh pelajar-pelajar yang berada di luar Bandar yang rata-ratanya kurang mendapat pendedahan dalam BI. Sungguhpun pengajaran subjek BI diajar dalam kelas, namun ianya jauh daripada mencukupi untuk pelajar tersebut menguasai BI dengan lebih baik. Kesan ini timbul daripada keadaan persekitaran di luar bandar juga perlu dipandang serius oleh pihak Kementerian bagi menjayakan dasar ini.
Untuk menjayakan dasar ini, program penguasaan BI ini perlu dijalankan dengan kadar intensif supaya para pelajar akan menerima impak yang lebih berkesan dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh Kementerian. Perkara ini perlu dijalankan secara tersusun dan berskala jangka masa panjang bagi membolehkan kesan yang baik diperolehi. Antara program-program yang disarankan ialah minggu Bahasa Inggeris dalam kadar kekerapan sekali dalam sebulan atau lebih. Program Integrasi sekolah-sekolah luar Bandar dengan sekolah-sekolah di Bandar, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan IPTA/IPTS bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang pendedahan dalam BI untuk memperoleh pendedahan daripada para pelajar yang lebih baik dari mereka dalam BI. Sekiranya program ini dapat disusun dengan baik, pendedahan BI kepada pelajar di luar Bandar akan mengalami peningkatan hasil daripada program yang dianjurkan sendiri oleh Kerajaan.
Usaha murni yang dilaksanakan oleh Kerajaan selama ini amat dihargai dan ianya patut diberi penghargaan yang tinggi. Namun sebagai generasi muda usaha berterusan yang tepat dan berkesan perlu diteruskan bagi memastikan apa jua dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan akan beroleh kejayaan yang maksimum.

PERUBAHAN YANG DIPERLUKAN SIRI 1

Sejak berakhirnya PRU 12 tahun 2008 yang lalu, berbagai ketidaktentuan politik berlaku dalam negara ini. Lebih mudah sekiranya kita katakan politik negara tidak stabil. Hakikat daripada pelbagai peristiwa yang berlaku, yang ruginya hanyalah rakyat kerana banyak masa dihabiskan untuk melihat kepada perkara yang sepatutnya tidak menjadi tumpuan.
Namun begitu perkara ini boleh dielak sekiranya kita semua membuat perubahan terhadap apa yang berlaku pada hari ini. Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat adalah dua buah kumpulan parti politik yang bertarung untuk merebut kuasa memerintah negara. Pun begitu banyak kelemahan yang dilihat dalam Pakatan Rakyat dalam memimpin negeri-negeri yang dikuasai.
Cara yang terbaik untuk menyelesaikan permasalahan ini ialah dengan mengembalikan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN kepada Barisan Nasional untuk kembali memerintah negara dengan lebih berkesan. Jika BN leka dan lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya, maka rakyat sekali lagi boleh memberi isyarat dengan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat untuk beberapa buah kerusi sebagai ingatan kepada BN agar tidak leka dalam membela nasib rakyat. Sekian untuk malam ini.

SAYA TIDAK AKAN ROSAKKAN UMNO - NAJIB

LONDON 12 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak akan melakukan sesuatu yang boleh merosakkan UMNO, jauh sekali daripada menghancurkan parti itu hanya demi kepentingan untuk memegang kuasa.
Menurutnya, beliau percaya peralihan kuasa UMNO perlu dilakukan menerusi tradisi konvensional dan bukannya dengan mewujudkan puak-puak yang akan menyebabkan parti lemah serta tidak berupaya menghadapi cabaran pilihan raya.
Menjawab soalan seorang peserta pada syarahan umum anjuran kumpulan pemikir hal ehwal antarabangsa United Kingdom di Chatam House, di sini, Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, ia merupakan cara terbaik untuk memastikan parti kekal kukuh.
"Saya datang daripada keluarga di mana ayahanda saya (Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein) membantu menubuhkan parti dan saya bukannya anak yang memusnahkan parti. Saya mahu terus menyambung membangunkan parti ini," katanya.
Seorang peserta semasa sesi soal jawab syarahan umum anjuran Institut Diraja Hubungan Antarabangsa dan Forum Perniagaan ASEAN-United Kingdom (AUBF) itu bertanyakan mengapa Najib tidak mengambilalih tampuk pemerintahan ekoran prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada pilihan raya umum Mac lalu.
Najib adalah dalam rangka lawatan ke United Kingdom untuk menghadiri sidang kemuncak mini Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).
Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, orang ramai boleh memberi pendapat masing-masing dan beliau tidak bertindak bukan kerana tidak berani atau pengecut.
Beliau menambah, UMNO yang kini berada pada tahap yang rendah akan terus melemah dan tidak berupaya untuk menghadapi cabaran pilihan raya jika ahli-ahli parti terus berbalah merebut tampuk kepimpinan.
"Apakah yang ada dengan mewarisi kedudukan apabila anda kalah dalam pilihan raya. Saya tidak mahu memimpin parti untuk kalah," katanya.
Dalam pada itu semasa sidang akhbarnya dengan wartawan Malaysia, Najib menekankan bahawa sebagai generasi penerus kepimpinan terdahulu, beliau mempunyai tanggungjawab untuk memastikan parti berada dalam keadaan kukuh.
"Ini bererti dalam apa-apa keputusan yang saya buiat selama ini, saya tanya diri saya apakah ini baik untuk parti atau pun sebaliknya," jelasnya.